7 Amalan Sunnah Di Pagi Aidilfitri

Alhamdulillah..hari ini kita umat Islam akan merayakan Hari Raya Aidilfitri. Semoga kita dipanjangkan umur untuk berjumpa dengan ramadhan berikutnya. Sambil-sambil bersiap untuk ke masjid atau menyediakan juadah mari kita ketahui apa amalan sunnah dan terbaik dilakukan di pagi raya agar kita merayakan Aidilfitri seperti Rasulullah. Saya kongsikan di sini agar dapat jadi rujukan nanti.

Salam Aidilfitri

Melalui perkongsian Zaharuddin.net

Bolehkah Bersuka Ria Di Pagi Raya?

Jawapannya, bergembira di Syawal tidak ditegah, malah Rasulullah s.a.w sendiri membenarkan umat islam bergembira di Syawal, dengan syarat gembira itu mestilah dilaksanakan dan dizahirkan dalam bentuk yang di terima Islam.

Nabi SAW juga pernah menegur kepada Abu Bakar As-Siddiq apabila melihat Abu Bakar memarahi Aisyah r.a dan penghibur kanak-kanak yang sedang menyanyikan nasyid di rumah Rasulullah SAW dengan katanya :

دعهما يا أبا بكر فإنها أيام عيد

Ertinya : “Biarkan ia ( wahai Abu Bakar) kerana ini adalah hari raya” ( Riwayat Al-Bukhari)

Mukmin sebenar akan merasa gembira kerana berterima kasih kepada Allah s.w.t atas kurniaan kesempatan dan peluang untuk mereka mendapat keampunan di bulan Ramadhan.

Sudah tentu mukmin ini merasa puas dengan usahanya yang berganda, walaupun penerimaannya adalah terpulang kepada Allah SWT semata. Ia bertepatan dengan Hadith Nabi SAW :

من سَرَّتْهُ حَسَنَتُهُ وَسَاءَتْهُ سَيِّئَتُهُ فذلك الْمُؤْمِنُ

Ertinya “Sesiapa yang merasa gembira apabila ia melakukan amal baik dan merasa buruk dengan perlakuan dosanya, itulah ciri Mukmin sejati ” (Riwayat At-Tirmizi, no 2165, 4/465 ; Tirmizi : Hasan Sohih ; Al-Haithami : perawinya sohih , rujuk Majma Az-Zawaid, 1/86 )

Selain mengenangkan usaha berganda yang telah dilakukan sewaktu Ramadhan, bergembira juga atas kejayaan membina ‘benteng kukuh’ dari godaan Syaitan, bukankah Nabi SAW telah menyebut bahawa “Puasa itu benteng” (Riwayat Al-Bukhari).

Kerana itu mereka menyambutnya dengan kegembiraan.

Ringkasan Amalan Di Hari Raya

Di hari mulia Syawal ini pula, umat Islam adalah amat digalakkan untuk :-

1) Mandi sunat hari raya sebelum keluar menunaikan solat sunat idil fitri .

Ulama besar Tabien Said Bin Jubayr berkata : “Tiga perkara sunnah di hari raya iaitu antaranya : mandi sunat sebelum keluar solat hari raya”.

2) Menjamah makanan sebelum keluar.

Ia berdasarkan hadith dari Anas Bin Malik yang diriwayatkan oleh Al-Bukhari yang menyebut : “Nabi SAW tidak keluar di pagi hari raya idil fitri sehinggalah Nabi SAW menjamah beberapa biji kurma…”

3) Memperbanyakkan Takbir dan bukan memperbanyakkan menonton TV dan bermain mercun ;

Seharusnya umat Islam jangan terlalu di sibukkan dengan aktiviti persiapan raya sehingga meninggalkan peluang takbir ini. Ini adalah penting bagi syiar Islam selain kalimah Takbir yang dibenci oleh Syaitan. Ad-Dar Qutni melaporkan bahawa apabila Ibn Umar r.a keluar di hari raya Idul Fitri, beliau akan berterusan bertakbir sehinggalah imam keluar untuk mengimamkan solat hari raya.

4) Mengucapkan selamat dan mendoakan antara satu sama lain ;

Tiada masalah untuk menggunakan apa jua kalimah, asalkan ianya mempunyai maksud yang sama. Bagaimanapun, kalimah yang digunakan di zaman baginda SAW adalah “Taqabbalallahu minna wa minkum” ertinya : Semoga Allah menerima amalan (amalan dan ibadat di Ramadhan) kami dan kamu”.

Disebut dalam sebuah riwayat :

قال واثلة لقيت رسول الله يوم عيد فقلت تقبل الله منا ومنك قال نعم تقبل الله منا ومنك

Ertinya : Berkata Wathilah, Aku bertemu Rasulullah s.a.w pada hari raya  dan aku katakan pada baginda “taqabballahu minna wa minka”, baginda menjawab : Ya, taqabbalallahu minna wa minka” ( Al-Baihaqi, rujuk perbincangan di Fath Al-Bari, 2/446 )

5) Memakai pakaian terbaik yang ada ;

Walaupun demikian, perlulah mengikut kemampuan dan tiada pembaziran dibenarkan.

Tidak dibenarkan untuk menghina pakaian orang lain yang kurang indah dan mahal (kecuali pakaian seksi dan tidak menutup aurat memang di haramkan di dalam Islam).

6) Menukar jalan ke tempat solat (balik dan pergi) ;

Ia berdasarkan hadith dari Jabir r.a yang menyebut bahawa Nabi SAW biasanya menukar atau berbeza jalan pergi dan pulang apabila di hari raya” (Riwayat Al-Bukhari)

7) Berziarah dan merapatkan hubungan baik (ukhuwwah) sesama Muslim sempena musim cuti yang diperolehi.

Nabi pernah bersabda :

مَن سَرّه أن يُبسط له في رزقه ، وأن يُنسأ له في أثره ؛ فَلْيَصِل رَحِمَه

Ertinya : Barangsiapa yang suka untuk diperluaskan baginya rezekinya, dan ditangguhkan (dipanjang) umurnya, maka hendaklah dia menyambung (mengukuh) hubungan persaudaraannya ( Riwayat Al-Bukhari & Muslim)

Semoga kita semua beroleh keberkatan di pagi raya

Salam Aidilfitri Maaf Zahir Dan Batin

Aniey Yusoff

You may also like...

6 Responses

  1. qaseh vee says:

    amalan yg memberikan ganjaran pahala …
    qaseh vee recently posted…Aidil Fitri Di PerantauanMy Profile

  2. ziarah kubur hari raya takde masalah..tidak sesat pun bahkan menimbulkan lebih keinsafan.. tapi adat budaya nak ziarah kubur dan tetapkan khusus hanya masa hari raya sahaja tu memang harus diperbetulkan dlm kalangan masyarakat melayu.. orang arab takde budaya ni pun..
    muhammad nizam recently posted…RESIPI : KETUPAT GORENGMy Profile

    • Ibu3A says:

      betul tu mmg tak salah pun selagi kita amik hikmahnya utk mengingati kematian dan hari akhirat cuma ada sesetgh org yg cuma pegi ziarah kubur time raya shj. Padahal sblm raya ada je blk kg tp ziarah kubur tggu raya shj…

  3. Salam AIdilfitri juga.. TErima kasih kerNA berkongsi tips ini. Memang berguna 🙂
    Aryn Fadz Lee recently posted…TIPS MENINGGALKAN RUMAH UNTUK BALIK KAMPUNG AIDILFITRI INI AGAR KEPALA TIDAK SERABUT FIKIRKAN RUMAH SAHAJAMy Profile

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge