Mengenali Tanda-tanda Stress Dan Meroyan Serta Tips Mencegah “Gila Meroyan” Selepas Bersalin

Dulu saya selalu di takut-takutkan dengan pesanan orang-orang tua supaya berpantang dengan betul kerana takut nanti ‘gila meroyan’ nanti jadi la tukang kutip daun di tengah jalan (gila la tu maksudnya nauzubillah). Masa tu kurang arif sikit tentang meroyan ni jadi dengar je la dan angguk acuh tak acuh.

Tapi sekarang bila dah berpantang kali ke 3 memang sangat ambil berat tentang penjagaan dalam pantang sebab takut nanti terjadi perkara yang tidak diingini. Tambah pulak selalu jugak dengar kes-kes meroyan ni di kalangan orang-orang yang dikenali. Serius takut! Sebab dengar cerita dari diaorang yang pernah mengalami meroyan ni, mereka seolah-olah tidak sedar apa yang mereka buat. Bila orang sekeliling cerita pun mereka tak ingat. Jangan main-main! Ada ibu yang sampai boleh bunuh anak sendiri sebab meroyan!

Gila Meroyan

Meroyan

Meroyan atau kemurungan postnatum adalah satu masalah yang biasa dialami oleh wanita selepas bersalin. Gila meroyan adalah gangguan perasaan dan jiwa yang serius. Ia sangat berkait rapat dengan penjagaan sewaktu berpantang atau selepas berpantang.

Sesuatu yang serius, kerana ada tahap ini wanita yang mengalaminya mampu melakukan perkara-perkara yang boleh mencederakan diri sendiri, bayi serta orang-orang disekeliling.

Apa Yang Menyebabkan Meroyan?

Secara hakikatnya masalah meroyan banyak dikaitkan dengan tekanan perasaan atau stress yang terlampau semasa di dalam pantang. Walaubagaimanapun faktor-faktor berikut mungkin menjadi pemangkin kepada keadaan tekanan seorang ibu tersebut sehingga boleh menyebabkan meroyan. Antaranya :

  • Kemurungan semasa kehamilan atau sejarah sakit mental terdahulu
  • Suami yang kurang memberi sokongan semasa kehamilan dan juga semasa berpantang
  • Pengabaian suami pada penjagaan isteri dan bayi semasa berpantang
  • Tiada ahli keluarga yang tinggal berdekatan atau yang boleh membantu semasa berpantang
  • Mempunyai masalah dalam kewangan, tempat kerja atau orang perseorangan
  • Mempunyai masalah atau risiko semasa hamil dan juga semasa melahirkan
  • Bayi yang dilahirkan pramatang atau mempunyai masalah kesihatan
  • Bayi yang kolik dan kerap menangis
  • Keletihan berdepan dengan ‘tugas baru’ seorang ibu
  • Sukar dan menghadapi masalah dalam penyusuan susu ibu
  • Kehilangan ahli keluarga terdekat seperti ibu, bapa atau suami disaat sedang hamil atau sebelum melahirkan yang boleh mendatangkan ingatan yang sedih

Tanda Dan Simptom Meroyan

  1. Perasaan putus asa
  2. Bersalah
  3. Letih
  4. Muram
  5. Sering menangis
  6. Gelisah
  7. Sunyi
  8. Rasa dipinggirkan dan tersisih
  9. Rasa diri tidak berguna dan sempurna
  10. Mula mengingati ahli keluarga yang telah meninggal dunia dan berasa amat sedih

Tidak dinafikan besar pengorbanan seorang wanita yang bergelar ibu dari saat hamil, bersalin dan dalam tempoh berpantang. Saya sendiri kehilangan arwah ibu tercinta semasa sarat mengandung 8 bulan anak sulung. Berkecai harapan ingin berpantang bersama-sama ibu. Perasaan masa tu sangat sedih yang teramat tapi saya redha kerana itu ketentuanNya.

Episod berpantang di waktu kehilangan yang sangat dirasai lagi sangat meruntun jiwa. Andai iman tidak kuat masa tu memang rasa seperti nak gila! Diuji Allah lagi anak sulung saya Alyaa menangis sepanjang masa bermula azan maghrib sehinggalah azan subuh. Stress yang teramat mendengar dia menangis. Pelbagai cara telah diikhtiarkan, tapi keadaan masih sama. Doktor memberitahu bahawa Alyaa ada simptom kolik atau kembung perut. Pada usianya tepat 3 bulan Alyaa secara automatik berhenti menangis, syukur alhamdulillah..

Nak tahu bagaimana cara untuk mengelak dari meroyan? Amalkan tips ini, insyaAllah banyak membantu ibu-ibu :

1. Banyakkan Berehat

Di dalam pantang, rehat merupakan satu tempoh pemulihan yang sangat penting. Cuba cari waktu semasa bayi tidur untuk tidur seketika. Oleh kerana anak saya hanya berhenti menangis apabila sedang menyusu badan, saya mengambil peluang tidur sekejap semasa sedang susukan bayi.

Sekiranya berpantang sendiri abaikan semua kerja-kerja rumah dahulu sehingga betul-betul sihat dan bertenaga untuk melakukannya.

2. Makan Makanan Yang Sihat Dan Berkhasiat

Pentingnya makanan yang sihat adalah supaya badan kita cepat sihat dan tenaga cepat pulih seperti sediakala. Juga untuk pastikan luka cepat sembuh. Setelah 9 bulan mengandung dan menghadapi pelbagai perubahan hormon tempoh berpantang amat diperlukan untuk memastkan keseimbangan hormon yang stabil dan emosi yang tenang.

Mungkin boleh membaca perkongsian Amalan Pemakanan Sihat Semasa Berpantang Untuk Elak Sakit Di Usia Muda

3. Berurut Dan Bertungku

Amalan tradisional yang sangat bermanfaat untuk kesihatan badan. Berurut dan bertungku membantu melancarkan kembali aliran darah dan menghilangkan sakit-sakit badan. Juga melancarkan pengeluaran darah nifas. Ini penting bagi menjamin tubuh sihat dan tidak terganggu dengan ‘darah kotor’ yang tidak habis keluar.

Bertungku juga membantu mengecutkan kembali rahim seperti sediakala. Ini boleh dilakukan oleh bidan-bidan yang berpengalaman dan mereka yang arif dalam bidang perbidanan.

Berurut mampu mengembalikan kecergasan badan

Berurut mampu mengembalikan kecergasan badan

4. Aktifkan Diri Dengan Kumpulan Sokongan

Dengan pelbagai media sosial seperti FB, Instagram, blog dan Twitter ibu-ibu boleh mengaktifkan diri dalam kumpulan sokongan ibu-ibu berpantang dan menyusu. Di sini, ibu-ibu boleh berkongsi pengalaman, bertanya tentang perihal masalah yang dihadapi semasa berpantang dan tentang penjagaan bayi. Tapi pastikan cari kumpulan sokongan yang membina dengan adanya ahli mereka seperti pakar laktasi, pakar nutrisi dan mungkin doktor.

5. Banyakkan Berzikir Dan Mengingati Allah

Bagi ibu yang beragama islam, banyakkan berzikir semasa dalam tempoh berpantang. Isikan kekurangan rohani semasa dalam tempoh nifas dengan zikrullah dan banyak mengingati Allah. Dalam tempoh berpantang dan semasa masih dalam nifas, syaitan sangat suka mengganggu. Jadi inilah senjata kekuatan rohani kita agar dijauhkan dari bisikan syaitan.

6. Bersikap Positif Selalu

Walau pelbagai dugaan yang menimpa, sentiasa ingat bahawa Allah selalu ada untuk kita. Pasti ada sesuatu yang baik sedang menunggu kita. Jangan bebankan diri dengan memikirkan sesuatu yang negatif. Nikmatilah waktu berpantang dengan penuh gembira.

Berpantang

Semoga ibu-ibu semua dijauhkan dari simptom meroyan ini dan berpantang dengan sihat. Jaga diri betul-betul semasa berpantang supaya semua gejala yang tidak baik dapat dielakkan. Tidak lupa set berpantang untuk ibu-ibu samaada secara moden atau tradisional 🙂

Semoga bermanfaat,

Aniey Yusoff

SMS/whatsapp : 013.7773122

SID Wangsa Maju, Setiawangsa, Sri Rampai dan kawasan sekitar

You may also like...

3 Responses

  1. Fida says:

    Terima kasih di atas maklumat….memang betul tentang meroyan….mak saudara ada kena….walaupun dah pulih tetapi perlu makan ubat dari masa ke semasa…

  2. Ibu3A says:

    Kan fida, ada kwn terdekat yg pernah kena tp sebenarnya dia xingat pun..mmg kena extra jaga2 utk berpantang seterusnya..

  3. Biasanya peranan suami adalah pencegah no 1 untuk mengelakkan gila meroyan terhadap isteri..
    SentiasaPanas recently posted…Tuhan Kena Tukar Nama!My Profile

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge