Panduan Khusus Amalan-amalan Di Malam Raya

Alhamdulillah hari ini sudah 29 Ramadhan dan sudah 29 hari kita berpuasa dan insyaAllah Syawal akan menjelma esok hari. Pada malam raya, selalu ayah akan balik lambat dari masjid dari zaman saya kecik sampailah sekarang. Dulu selalu tanya ayah kenapa balik lambat, buat apa di masjid? Ayah bagitau di masjid ramai orang duduk berzikir dan bertakbir sampai ke subuh. Kelmarin di radio IKIM saya ada terdengar ustaz ceritakan tentang amalan-amalan khusus di malam raya. Baru saya tahu tentang kebesaran dan kelebihan beribadat di malam raya sebab selama ni asal malam raya je sibuk memasak hihi..mungkin sekarang sambil-sambil masak boleh sambil berzikir dan bertakbir.

Amalan Malam Raya

Melalui perkongsian ustaznoramin.com

Di dalam Sunan Al-Baihaqi pada bab Ibadat pada malam 2 hari raya : “Daripada Abu Darda’ beliau berkata: Sesiapa yang menbangunkan 2 malam raya, tidak mengharapkan apa-apa kecuali Allah, nescaya tidak akan mati hatinya ketika matinya kesemua hati.”

Berkata Imam Syafie: “Terdapat riwayat yang mengatakan Abu darda’ berkata : Sesungguhnya doa mustajab pada 5 malam; malam jumaat, malam hari raya adha, malam raya fithri, malam pertama rejab dan malam nisfu syaaban.”

Riwayat di dalam Kitab Syuabul Iman : “Dari Ibn Umar beliau berkata: Lima malam tidak akan ditolak doa permintaan. Malam Jumaat, malam pertama dari tejab, malam nisfu syaaban dan dua malam raya (fitri dan adha).”

Berkata Imam Manawi di dalam Faidul Qadir : “Sunat menghidupkan kelima-lima malam tersebut. Para salaf sentiasa melakukan perbuatan tersebut.”

Cara Menghidupkan Malam Tersebut

Imam Nawawi menyebut di dalam Kitab Azkar : “Disunatkan menghidupkan kedua malam hari raya (Fitri dan Adha) dengan zikir, solat dan selain keduanya. Walaupun hadis berkenaan menghidupkan malam tersebut kedudukannya lemah akan tetapi hadis-hadis berkenaan amalan yang mempunyai kelebihan tertentu diberi kelonggaran untuk berpegang dengannya.”

Berkata Imam Nawawi: “Secara zahir dapat difahami tidak dikatakan menghidupkan malam kecuali dengan dibangunkan sebahagian besar daripada malam tersebut.”

Di dalam kitab Al-Imdad : “Maksud mendirikan malam adalah dengan melaksanakan solat sunat secara sendirian tanpa bilangan rakaat tertentu, dengan membaca Al-Quran, membaca hadis dan memperdengarkannya, dengan bertasbih dan memuji Allah, dengan berselawat ke atas junjungan besar Nabi Muhammad yang kesemuanya dilakukan pada sebahagian besar daripada malam hari tersebut.”

Dari Ibn Abbas : “Membangunkan malam dengan solat Isyak secara berjamaah dan berazam untuk melaksanakan solat subuh secara berjemaah. Di dalam Sahih Muslim Baginda Nabi bersabda: Sesiapa yang melaksanakan solat Isyak secara berjemaah seolah-olah dia telah membangunkan separuh malam. Sesiapa yang solat subuh secara berjemaah, seolah-olah membangunkan keseluruhan malam.”

Daripada kita sibuk membuat ketupat, membakar lemang, masak nasi impit, menghias rumah mungkin malam raya ni kita boleh ubah sedikit. Boleh beribadat dengan bertakbir, berzikir, berselawat dan solat sunat sendirian. Semoga Allah melipatgandakan amalan kita dan membawa kita bertemu lagi Ramadhan akan datang. InsyaAllah…aminn

Salam Aidilfitri Maaf Zahir Dan Batin

~Aniey Yusoff~

You may also like...

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge